Adakah
anda masih ingat cara pembelajaran di sekolah pada masa dulu? Adakah anda
perasan apakah perbezaan dunia masa kini dengan dunia masa dulu? Ya, dunia
sekarang boleh digelar sebagai dunia ‘dotcom’. Dengan kata lain, teknologi
maklumat menjadi perkara yang amat penting yang menjadi alat perhubungan antara
kita semua. Dengan itu, teknologi maklumat telah menjadi unsur yang sangat penting
dalam dunia pendidikan pada masa kini.
Kapur dan papan hitam memainkan peranan
yang penting sebagai perantaraan penyaluran ilmu antara guru dengan murid-murid
pada zaman dahulu, tetapi, pada era ICT dunia moden ini, komputer yang
mempunyai pelbagai fungsi menjadi perantaraan utama bagi guru dan murid. Pembelajaran
murid menjadi lebih mudah difahami jika sesuatu yang sukar dijelaskan
ditunjukkan melalui paparan dari sumber teknologi maklumat. Selain meningkatkan
memori murid juga dapat menarik minat belajar murid.
Selain daripada itu, teknologi maklumat
juga memainkan peranan yang penting dalam memberi peluang kepada guru-guru yang
ingin menyambung pelajaran di institut dan universiti dengan tujuan untuk
menambahkan ilmu pengetahuan tanpa memisahkan diri daripada tanggungjawab
menjaga keluarga mereka. Dengan adanya teknologi dan azam diri yang teguh,
sesiapa pun boleh menjalankan pembelajaran kendiri tanpa sebarang halangan
lagi. Konsep ini dinamakan pembelajaran jarak jauh. Dengan adanya konsep dan
media, kita tidak perlu menempuh jarak yang jauh lagi untuk belajar.
Kesimpulannya, teknologi maklumat membawa
banyak kebaikan dalam pendidikan. Ia memberi kita peluang untuk mendapat
pengetahuan dengan cara yang mudah. Oleh itu, gunakan teknologi untuk sesuatu
yang betul dan bukan menggunakannya dalam sesuatu yang berniat jahat.